Dilahirkan dan membesar di Sabah tidak menjamin status seseorang itu diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. Itulah situasi yang menghantui kebanyakan pelarian perang yang masih memegang pas IMM13 di Sabah.

Artikel ini deterjemahkan dari Bahasa Inggeris oleh Suraidah Roslan.

Isu Warga Asing: Antara Dasar & Nilai Kemanusiaan

Dilahirkan dan membesar di Sabah tidak menjamin status seseorang itu diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Itulah situasi yang menghantui kebanyakan pelarian perang yang masih memegang pas IMM13 di Sabah.

Turut menerima nasib sama adalah wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Hajah, 31, yang membesar di Pulau Gaya.

Ibu kepada empat orang anak ini pernah diusir keluar pulang ke Filipina ketika operasi banteras pendatang asing tanpa izin (PTI) dilakukan di Labuan.

Namun, setelah tiga tahun dihantar ke Filipina, Hajah berjaya pulang semula ke Pulau Gaya pada 2017.

Menurut wanita ini, dia pernah ditangkap dan dimasukkan ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah pada 2013.

“Saya ditangkap di Labuan semasa pihak berkuasa mengadakan operasi. Selepas itu saya dihantar ke PTS Kimanis. Masa itu, saya berdoa agar saya akan dibebaskan terutama semasa saya berada di rumah merah. Keadaan di dalam memang sesak.

“Sel penempatan yang terlalu sesak dan makanan juga sukar diperoleh. Namun, saya bernasib baik kerana ada pegawai yang bersimpati dengan saya dan memberikan mi maggie,” katanya mengimbau saat dia berada dalam PTS.

Selepas tiga bulan berada di PTS Kimanis bersama empat anaknya, dia diarah bersama kumpulan lain berkumpul untuk diusir keluar dari Sabah ke Filipina. 

Anak-Anak Hajah berusia antara beberapa bulan hingga 7 tahun.
Katanya, ketika itu dia terpaksa mengikut arahan pihak berkuasa dan diusir keluar pada waktu malam menaiki kapal bersama anak-anaknya ke Zamboanga di Selatan Filipina.

Di sana dia sekali lagi dikurung selama tempoh tiga tahun.

Detik Pertemuan Dengan Hajah

Penulis mendengar kisah Hajah melalui bantuan seorang kawan yang melakukan kerja NGO.Disebabkan tertarik dengan kisah Hajah, saya meminta kebenarkan untuk melawatnya di rumah dan saya beruntung kerana Hajah bersetuju dengan pertemuan empat mata itu.

Kami mengambil bot dari jeti belakang Pasar Besar Kota Kinabalu. Jeti yang sering digunakan oleh penduduk Pulau Gaya.

Ketika bot kami hendak bertolak ke Pulau Gaya, seorang pak cik memaklumkan ada rondaan polis marin dibuat di perairan.

Atas sebab itu, kami menunggu sehingga rondaan polis marin selesai baru memulakan perjalanan kerana Hajah tidak mahu berdepan dengan masalah.

Perjalanan dari jeti ke rumah Hajah hanya mengambil masa kira-kira 10 minit. Sebaik tiba di rumah keluarganya, kami disapa mesra oleh ibu Hajah yang saya namakan sebagai Mak Cik Fauziah.

Rumah itu hanya mempunyai dua bilik tidur. Biarpun kecil namun, ruang tamu nampak kemas dengan beberapa gambar lama menghiasi dinding rumah mereka.

Saya bersama rakan lain duduk bersila untuk mendengar kisah hidup ibu Hajah yang terpaksa menyeberangi lautan pada sebelah malam hanya kerana ingin menyelamatkan diri daripada peperangan yang berlaku di Selatan Filipina ketika itu.

Menurut Fauziah, ibunya yang berusia 90 tahun melarikan diri bersama suami dari Jolo pada 1980an. Ketika Selatan Filipina sedang bergolak, mereka menyelamatkan diri dengan datang ke Sabah. Ketika itu, ada kejadian tembak-menembak berlaku.

Melihat Fauziah agak sukar mengimbau kembali memori lama itu, Hajah menyampuk dan memaklumkan ketika itu peperangan sedang berlaku di Filipina dan kedua orang tua ibunya terpaksa melarian diri.

Berbanding dengan keadaan di Selatan Filipina, keadaan di Sabah cukup aman, kata Fauziah.

“Dulu keadaan di Filipina amat kejam. Mereka turut menembak mati wanita dan kanak-kanak tanpa ragu-ragu,” kata Fauziah.

Ketika saya bertanya kepada Fauziah, jika beliau ada menyimpan hasrat untuk pulang ke Filipina, beliau nekad untuk tidak pulang ke situ.

Terutama pada usia sekarang. Jika semasa muda sekalipun beliau tidak terfikir untuk kembali ke sana (Filipina).

Mak Cik Fauziah mempunyai sembilan anak yang semuanya lahir dan membesar di Sabah. Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka mempunyai Kad Pengenalan (IC).

“Apa yang paling bikin sakit hati itu dua anak (ada IC) kasi biar saja saya di sini. Bodoh!. Tidak pandai tolong. Itu yang bikin saya menangis teruk macam ni,” ujar Fauziah.

Dua adik perempuan Hajah itu diambil sebagai anak angkat oleh pak cik mereka. Pak cik merek memang mempunyai dokumen yang sah dan mempunyai IC.

Menurut Hajah, pak ciknya itu ada meminjamkan IC kepada ibunya bagi membolehkan ibunya melahirkan dua anak di klinik. Itu bagi membolehkan kedua mereka mempunyai surat beranak.

Selepas itu, pak ciknya yang menanggung segala perbelanjaan dua adiknya itu.

Penulis bertanya bagaimana pak cik Hajah memiliki IC hingga boleh membantu dua adiknya mendapatkan IC.

Hajah menjelaskan pak ciknya memperoleh IC melalui kerana dahulu ada peruntukan untuk buat IC.

“Ada ba itu..diorang bagi peruntukan IC dulu. Tu la aku tanya kenapa mama ku tidak berusaha untuk mendapatkan IC tu. Dia tidak fikir masa depan anak-anak dia kah,” ujarnya.

Disebabkan perbezaan status antara Hajah dan dua adiknya itu menyebabkan dia sedikit terkilan dengan ibunya.

Menurutnya, dua adiknya yang mempunyai IC itu kini sudah berhijrah ke Semenanjung Malaysia dan mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Disebabkan mereka mempunyai status yang sah, mereka menjauhkan diri dari keluarga dan meninggalkan ibu yang patah hati. 

Hajah terkilan kerana ibunya tidak menjangka keadaan sebegitu akan berlaku.

“Bukan mahu ungkit. Tapi saya harap ibu dapat berjuang lebih kuat bagi mendapatkan kami semua dokumen yang sah dan bukannya dua adik saya itu saja yang ada IC,” kata Hajah sambil menitiskan air mata.

Perkongsian yang emosional itu membuatkan penulis terfikir walau kehidupan dilalui Hajah begitu sukar ketika ini namun, hubungan antara dia dan ibunya yang paling sukar hendak dijernihkan.

“Yang aku punya mama pun, aku kasi duit yang aku mampu. Tapi itulah, yang dua (adik) yang tiada di sisi dia tu yang dia selalu fikirkan. Anak yang di depan mata, dia enda pandang,”.

Bagi Hajah dia sentiasa menyebelahi ibunya. Namun, ibunya seperti hanya pedulikan dua adiknya yang kini mempunyai kehidupan lebih baik itu kerana ada IC.

Katanya, dia bagi duit setakat yang mampu. Itu sahaja cara untuk bantu ibu. Apa-apa pun dia yang melahirkan dan membesarkannya.

Hajah menyimpan sedikit harapan untuk mendapatkan dokumen pengenalan yang sah untuk anak-anaknya. Dia mahu anak-anaknya mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Menurut Hajah, semasa dia ditangkap di Labuan, mereka mengambil sijil lahir anak-anaknya. 

Di Malaysia, semua bayi yang lahir diberikan sijil lahir. Sijil pendaftaran itu memberi harapan kepada Hajah agar status anak-anaknya diiktiraf di Sabah.

Namun, sijil lahir tidak memberi jaminan mereka layak mendapat kerakyatan di Malaysia.

Pengasas Advocates for Non-Discrimination & Access to Knowledge (ANAK), Anne Baltazar sebelum ini memaklumkan penulis, Malaysia mengamalkan prinsip Jus Sanguinis, iaitu mana-mana anak yang dilahirkan di Malaysia perlu mempunyai kerakyatan sebaik sahaja lahir, berbeza dengan prinsip Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Kanak-Kanak, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menerusi prinsip ‘Jus Sanguinis’, kerakyatan anak ditentukan melalui status ibu bapanya, sama ada penduduk tetap atau rakyat Malaysia.

Prinsip yang diamalkan di Malaysia ini yang memperlihatkan ramai anak-anak yang dilahirkan di Sabah tiada kewarganegaraan (stateless). Jumlahnya mencecah sehingga 60,000 orang.

Apa yang memburukkan keadaan, Malaysia tidak mengiktiraf stateless. Ia tidak selari dengan konvensyen mengurangkan orang tiada kewarganegaraan pada 1951 mahupun Konvensyen PBB 1954  mengenai status individu tiada kewarganegaraan.

Sekiranya dasar kerajaan berubah, barulah orang seperti Hajah dan anak-anak serta cucunya boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik sebagai warganegara.

Pulang Semula Ke Sabah

Semasa diusir keluar ke Filipina, pegawai di sana menulis surat bahawa Hajah tiada saudara di Filipina dan tiada sebarang kaitan dengan kerajaan Filipina. Atas sebab itu, mereka membebaskannya dan memberi 200,000 peso.

Hajah berkata, anak-anaknya diberikan makanan, baju dan sekolah ketika mereka berada di sana tapi, dia masih mahu pulang ke Sabah kerana keluarganya semua ada di Sabah.

Setelah dibebaskan, Hajah menemui cara untuk ke Pulau Sitingkai, pulau yang menjadi sempadan untuk memasuki perairan Semporna.

Dia membayar 10,000 peso (kira-kira RM800) kepada bot tidak berlesen bagi membawa dia dan anak-anaknya menyeberangi sempadan perairan Filipina.

“Rasanya juru pandu bot kesian melihat saya dan anak-anak. Sebab itu, dia setuju membawa kami. Namun, perjalanan itu tidak lancar kerana separuh perjalanan kami ditahan oleh peronda Maritim Malaysia. Mereka mengambil surat saya.

“Mereka juga tanya betul kah saya orang Sabah. Disebabkan saya berkeras bahawa saya orang Sabah, mereka membenarkan saya meneruskan perjalanan,” kata Hajah.

Namun, mereka mengambil pas yang menjadi satu-satunya bukti yang membolehkan statusnya di Sabah dapat disahkan.

Bila penulis bertanya apa sebab mereka ambil pas itu, Hajah memberitahu dia pun tidak diberi penjelasan apa-apa. Itu hanya sekadar pas perjalanan saja.

Tambahnya, dia sentiasa sembahyang dan berdoa agar dipermudahkan untuk mendapatkan dokumen sah.

*Nama-nama di atas diubah demi melindungi identiti individu tersebut

*Artikel ini ditulis selepas misi bantuan ke Pulau Gaya oleh pertubuhan bukan kerajaan, ANAK dan Pusat Hak Asasi Sabah (SHRC).