Illustrated by Daniganis

Sama seperti kebanyakan ‘amah’ tanpa dokumen di negeri ini, Mariam (bukan nama sebenar) telah melalui banyak kisah suka duka.

Namun keinginan untuk terus mencari rezeki diteruskan walaupun risikonya terlalu tinggi.

Mariam, 51, berasal dari Zamboanga, Filipina telah menetap di Negeri di Bawah Bayu tanpa document perjalanan sejak 25 tahun lepas. Dia datang pada tahun 90an melalui jalan tikus untuk ‘mengejar’ suaminya Amil, yang telah sampai dahulu di sini dan bekerja sebagai tukang.

“Pada mulanya suami saya yang datang ke sini secara haram bekerja sebagai buruh binaan. Tetapi disebabkan banyak operasi tangkapan pada masa itu, dia dan rakan-rakannya lari daripada majikan mereka.

“Sejak itu dia mengambil upah membaiki dan mengubahsuai rumah-rumah taukeh di sekitar Kota Kinabalu.

“Setelah beberapa tahun mengenali ramai taukeh, suami mengirimkan pesanan kepada saya melalui rakan sekampung yang pulang berhari raya supaya saya dapat datang ke Sabah. Kebetulan ketika itu salah seorang taukeh tempatnya bekerja memerlukan pembantu rumah.

“Berita itu saya terima dengan gembira sekali kerana mencari pekerjaan di Malaysia adalah idaman ramai orang di kampung kami. Keadaan yang tidak pernah aman di Zamboanga amat menakutkan. 

“Jika berlaku sebarang pergaduhan ataupun pertempuran di antara askar dan pemberontak, kami hanya pasrah dengan keadaan yang berlaku.

“Berdepan dengan kematian hampir setiap hari memberi kekuatan kepada saya untuk memulakan kehidupan baru di tempat yang dikhabarkan sebagai lubuk rezeki.

“Perjalanan saya dengan bot ke Sandakan mengambil masa beberapa hari kerana kami berhenti di lokasi-lokasi tertentu untuk mengelak daripada ditangkap. Manakala perjalanan ke Kota Kinabalu melalui jalan darat,” kata Mariam.

Selama lebih dua dekad menetap tanpa dokumen di negeri ini, Mariam dan suaminya mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia 21 tahun.

Bila ditanya berkenaan dokumen anaknya, Mariam berkata anaknya bersekolah sehingga Tingkatan 3 atas bantuan majikan lama.

Namun, Mariam tidak menceritakan secara terperinci bagaimana proses dokumentasi anaknya dapat dilakukan memandangkan dia dan suaminya langsung tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Saya bekerja sebagai amah sudah 25 tahun. Bos (majikan) saya silih berganti kerana ada yang berpindah, ada yang anak-anak sudah besar, dan ada juga yang saya tinggalkan kerana tidak bayar gaji,” katanya.

“Saya dan suami sudah ditangkap sebanyak dua kali, tetapi kami tetap kembali ke Malaysia kerana kami sudah tidak mempunyai siapa-siapa di Zamboanga. Satu-satunya zuriat kami berada di Sabah. Kami mahu terus bersamanya,” kata Mariam.

Penulis menemui Mariam melalui kenalan di media sosial yang sering bercerita mengenai pembantu rumahnya yang baru. Majikan tersebut mengakui dia mengupah amah tanpa dokumen namun bersyukur kerana kerjanya yang bagus dan tidak meminta gaji yang tinggi.

Difahamkan, gaji Mariam ketika ini adalah RM800 sebulan, makan minum dan tempat tinggal ditanggung. Cuti sehari seminggu, ataupun 5 hari berturut-turut jika bercuti sebulan sekali.

Ketika mula-mula bekerja dahulu, gaji bulanan Mariam hanya RM300 sebulan, atau RM10 sehari. Kini, angka tersebut meningkat lebih sekali ganda kerana permintaan yang tinggi.

Namun, banyak juga kisah pembantu rumah yang tidak dibayar gaji malah diugut akan dihantar kepada pihak berkuasa jika menagih hak mereka.

“Saya pernah berdepan dengan dua bos yang tidak membayar gaji. Beberapa tahun lepas, seorang yang ‘berkuasa’ telah mengambil saya kerja. 

“Selepas sebulan tidak dibayar gaji, saya menyatakan hasrat meminjam wang belanja tetapi saya dimarahi dan diugut akan ditangkap sekiranya meminta duit. Saya lari dari majikan tersebut atas bantuan anak saya yang memiliki kereta.

“Selepas itu, ada seorang lagi majikan yang menjanjikan gaji RM900 sebulan kepada saya, tetapi ia berakhir dengan tragedi.

“Saya dipukul dan ditinggalkan di tepi jalan setelah saya meminta gaji selepas hampir dua bulan bekerja,” katanya.

Sejak kejadian tersebut, Mariam agak trauma dan berhenti menjadi pekerja tetap (stay-in) buat seketika dan tinggal bersama anaknya yang bekerja sebagai tukang urut.

Sebelum ini, Mariam sekeluarga tinggal di pondok kecil yang dibina suaminya terletak di beberapa kawasan setinggan berdekatan bandar.

Anaknya bersekolah di daerah lain dan tinggal di rumah keluarga angkat sehingga berumur 15 tahun.

“Selepas anak saya berhenti sekolah, dia bekerja sebagai tukang urut dan kini mengambil upah mengurut dari rumah ke rumah, dan tinggal bersama rakan-rakannya.

“Saya dan suami sudah biasa hidup berpindah-randah samada mengikut majikan masing-masing ataupun terpaksa berpindah akibat berlaku kebakaran. Sudah lima kali pondok kami musnah dijilat api.

“Dua tahun lepas, pondok kami terbakar lagi maka, suami saya nasihatkan saya untuk kembali bekerja supaya mempunyai tempat tinggal.

“Kemudian dia mengikut majikannya membuka kebun di daerah lain. Waktu cuti, kami akan berjumpa di rumah rakan sekampung ataupun rumah sewa anak,” kata Mariam.

Melihat perancangan masa depan, Mariam berhasrat untuk terus menetap di Malaysia agar dapat melihat anaknya membina keluarga bahagia dan melahirkan anak yang ramai dengan pasangan warganegara.

Hidup tanpa sebarang dokumen, Mariam berkata amat mustahil baginya dan suami untuk memohon sebarang ‘surat’ pengenalan diri. Kedutaan Filipina terletak jauh di Kuala Lumpur dan ia menyukarkan untuk mereka untuk mendapat maklumat jelas berkenaan urusan dokumentasi.

“Kami pernah ditipu sehingga puluhan ribu ringgit untuk urusan dokumentasi.

“Saya kurang tahu bagaimana suami saya menguruskannya tapi semua simpanan kami habis untuk tujuan ini. Kami akan terus mencari jalan untuk mendapat dokumen pengenalan diri agar hidup kami tidak lagi dibayangi dengan ketakutan,” katanya.

Dengan permintaan pembantu rumah di Sabah yang semakin meningkat, menggaji insan-insan seperti Mariam adalah perkara biasa.

Adalah rahsia yang diketahui ramai, kewujudan mereka akan disembunyikan dari pihak berkuasa oleh majikan kerana kedua-dua berada dalam situasi ‘menang-menang’.

Menurut undang-undang Malaysia, mereka yang tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah adalah satu kesalahan dibawah seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu pelanggaran seksyen 6(1)(c) akta yang sama.

Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.

Bagi majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit sah pula boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram dijumpai di dalam premis, jika disabitkan kesalahan.

Maka, sebarang tangkapan akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Walaupun risiko menggaji pembantu rumah tanpa dokumen sangat tinggi, namun kesanggupan majikan meneruskan ‘tradisi’ ini menjadi ‘syurga neraka’ bagi kebanyakan wanita seperti Mariam.

Bagi amah dari Indonesia pula, urusan untuk mengambil mereka bekerja lebih mudah memandangkan pejabat kedutaan berada di Kota Kinabalu dan sebarang kekeliruan boleh dirujuk terus tanpa perlu terbang ke Kuala Lumpur.

Namun, tidak semua majikan mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan wang pendahuluan urusan yang memakan belanja sekurang-kurangnya RM5,000 untuk mengupah seorang pembantu rumah yang mempunyai dokumen dari Indonesia.

Jalan pintas yang selalu diambil oleh majikan yang terdesak, adalah mengambil warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen lengkap.

Hajah Sitti Sanah

Hajah Sitti Sanah, 63, yang sudah bekerja sebagai pembantu rumah lebih 30 tahun menceritakan bagaimana dia datang ke Sabah dari Makassar melalui Pelabuhan Nunukan menaiki bot laju ke Tawau.

“Saya datang ke Kota Kinabalu lewat 80an untuk melawat saudara mara sambil mencari kerja dan akhirnya bertemu majikan yang baik dan bekerja dengannya selama lebih 10 tahun.

“Setelah majikan lama saya berpindah kerja ke Kuala Lumpur, saya pulang ke Indonesia untuk berkahwin dengan lelaki yang saya kenali di Malaysia.

“Saya kemudiannya tinggal di kampung selama beberapa tahun kerana membesarkan anak saya yang kini berumur 20an. Selepas anak saya sudah bersekolah, saya kembali bekerja sebagai amah dengan jaminan majikan, dan hasil pendapatan bekerja selama bertahun-tahun mengizinkan saya menunaikan ibadah haji selepas anak saya tamat pengajian sekolah menengah. 

“Kami sekeluarga kini menetap di Kota Kinabalu. Suami dan anak saya bekerja atas jaminan majikan, namun saya kini mengalami masalah kerana pas lawatan telah lebih tempoh selama beberapa tahun,” katanya.

Hajah Sitti, yang pernah dijamin beberapa majikan sebelum ini melalui hari-hari yang sukar apabila majikannya yang terakhir tidak memperbaharui pas kerjanya. 

Dia datang semula ke Malaysia dengan pas lawatan, namun membiarkannya luput selama bertahun-tahun.

“Saya kini bekerja untuk mengumpul wang kerana mahu menguruskan pasport. Tiada pilihan lain, saya akan menyerah diri dulu, bayar denda kemudian pulang ke Indonesia.

“Ramai lagi warga Indonesia yang mengalami isu seperti saya. Kami tinggal di sini dengan dokumen yang luput kerana tidak mampu memperbaharui, dan ada juga yang tiada kerjasama dari penjamin iaitu majikan.

“Majikan saya sekarang bersetuju untuk menjamin saya, namun saya tidak tahu jika urusan akan dimudahkan atau bertambah sukar kerana sekarang musim Covid-19. Saya takut jika ditangkap kerana ramai yang ceritakan kepada saya keadaan di Rumah Merah yang ramai terkena virus,” katanya.

Di Sabah, kes tinggal lebih tempoh (overstay) dan masuk tanpa dokumen lengkap adalah perkara yang biasa dan hampir dilaporkan di mahkamah setiap hari. 

Sebelum proses deportasi, tahanan akan menjalankan hukuman di Pusat Tahanan Sementara (PTS) kemudian dihantar pulang ke Indonesia melalui Pelabuhan Tawau.

Rumah Merah ialah nama yang menjadi panggilan untuk PTS Manggatal kerana bangunannya berwarna merah.

Pada penghujung tahun lepas, Kluster Rumah Merah di PTS Manggatal antara punca jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat dua kali ganda dalam tempoh 24 jam. 

Kes indeks merupakan pengesanan daripada pemantauan berterusan dilakukan ke atas tahanan yang ditempatkan di sana.

Pandemik Covid-19 yang melanda tahun lepas bukan sahaja menyebabkan warganegara Malaysia berhadapan kesukaran hidup, namun ia juga menjadi tekanan kepada warga asing tanpa dokumen.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai amah tanpa dokumen berhadapan risiko rendah untuk dikesan oleh pihak berkuasa kerana hanya duduk di rumah. 

Namun, kerisauan timbul adalah sekiranya mereka dijangkiti oleh keluarga majikan dan tidak dirawat dengan baik kerana takut dengan hukuman undang-undang.

(Penulis juga ingin mengetahui jika ada amah yang didapati positif Covid-19 dibuang kerja sepanjang pelaksanaan PKP.)

Artikel mengenai “Voices for Inclusion” ini diterbitkan dengan kerjasama antara Borneo Speaks dan ARTICLE 19. Untuk info lanjut mengenai ARTICLE 19, sila ikuti pautan https://www.article19.org/region/malaysia/.